Sejarah Penubuhan

Gagasan penubuhan sebuah koperasi bagi kakitangan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) telah dicetuskan oleh kakitangan yang berkhidmat dengan LPP. Mereka merasa teruja lagi perlu menubuhkan sebuah koperasi sebagai satu wadah yang boleh membantu  meningkatkan keupayaan kewangan dan kebajikan anggotanya. Ini bersesuaian dengan peranan Lembaga Pertubuhan Peladang sendiri yang menjadi Pendaftar dan Agensi Kerajaan  yang mengawalselia pertubuhan peladang serta koperasi-koperasi pertanian pada ketika itu sebelum kawalselia koperasi pertanian dipindahkan kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

 

Segalanya bermula apabila Encik Nainy b. Haji Awang Chik, Pengarah Pembangunan LPP mengemukakan idea menubuhkan sebuah koperasi bagi pegawai-pegawai LPP. Idea ini telah disokong kuat oleh Encik Mohd Yusof b. Ismail, Pengarah Pentadbiran dan Kewangan LPP. Cadangan tersebut telah dipersetujui oleh Ketua Pengarah LPP pada ketika itu Tuan Haji Ahmad Sarji b. Abdul Hamid (Tun) yang mengarahkan satu jawatankuasa protem digerakkan bagi merealisasikan penubuhan koperasi berkenaan.

 

Pada 22hb. Ogos 1975 sebuah Jawatankuasa Sementara mengandungi 9 orang pegawai LPP telah ditubuhkan  bagi mengambil inisiatif mewujudkan koperasi pegawai-pegawai LPP. Anggota Jawatankuasa Sementara tersebut terdiri daripada:

  • Encik Mohd Yusof b. Ismail – Pengerusi
  • Encik Abdullah b. Ujang
  • Encik Nainy b. Haji Awang Chik
  • Encik Alias b. Baba
  • Encik Milatusamshi b. Imam Nawawi
  • Encik Loke Keng Hung
  • Encik Nozir Ahmad b. Hussain
  • Encik SM Kamaruddin b. SM Issa

 

Jawatankuasa Sementara ini telah bersidang sebanyak 6 kali dan berjaya menghasilkan satu set undang-undang kecil yang dicadangkan bagi koperasi berkenaan. Jawatankuasa ini juga telah  merangka strategi dan menggerakkan usaha mengumpul anggota serta merancang aktiviti-aktiviti bagi koperasi yang akan ditubuhkan.